Jururawat dihukum penjara seumur hidup kerana akibatkan 11 warga tua terkorban
Roger Dean, seorang jururawat di pusat rawatan itu, mengaku bersalah ke atas 11 kesalahan membunuh sambil memberitahu polis selepas kejadian kebakaran pada 2011 itu bahawa dia telah "dikuasai bisikan jahat".
"Anda tidak akan percaya, tetapi ia seperti syaitan berkata kepada saya bahawa ia adalah perkara yang betul dan saya cuba sedaya upaya untuk tidak melakukannya," katanya.
Dean juga mengaku melakukan lapan kesalahan menyebabkan kecederaan kepada beberapa penghuni lain di pusat rawatan itu, dengan sesetengahnya mengalami demensia dan buta.
Hakim Megan Latham berkata jenayah yang dilakukan lelaki berusia 37 tahun itu adalah dalam kategori paling teruk, sambil menyifatkannya "sungguh kejam", "zalim" dan "patut dikeji" kerana mangsa-mangsa di bawah penjagaannya itu lemah dan sudah lanjut usia.
"Kesengsaraan dan rasa gerun yang dialami semua mangsa itu sudah pasti sangat dahsyat," kata beliau.
"Bagi mereka yang tidak boleh bergerak secara bebas dan menghadapi ancaman dibakar hidup-hidup atau mengalami sesak nafas akibat asap, ia satu nasib yang lebih buruk dan sukar untuk dibayangkan," tambah beliau.
Tiga penghuni terkorban semasa kebakaran yang dimulakan Dean dan lapan lagi meninggal dunia kemudian.
Mahkamah Agung mendengar bahawa Dean memulakan kebakaran itu di dua tempat dalam bangunan pusat berkenaan sebagai sebahagian daripada satu "rancangan tersusun" bagi mengalihkan perhatian para pegawai polis dan pengurusan hospital daripada langkahnya mencuri lebih 200 pil preskripsi.
Ketika itu, Dean disifatkan penduduk setempat sebagai lelaki peramah tetapi pendiam yang sering menyendiri, dan dia pada awalnya pernah dianggap sebagai wira selepas bercakap kepada pihak media di luar bangunan rumah rawatan itu semasa anggota bomba berhempas pulas cuba memadamkan kebakaran tersebut.
Ketika itu, dia memberitahu pihak media bahawa dia "dengan cepat melakukan apa yang harus saya lakukan untuk memastikan setiap orang keluar".
Dean adalah seorang penagih pil preskripsi penghilang kesakitan dan mengalami kecelaruan personaliti tetapi pihak mahkamah diberitahu tidak ada bukti dia mengalami gangguan mental yang serius ketika itu.
Di luar mahkamah, saudara- mara dan rakan mangsanya bersorak dan berpelukan antara satu sama lain selepas keputusan dibacakan.
No comments:
Post a Comment