LARIKAN DIRI: Para penduduk lari
menyelamatkan diri daripada kebakaran di kawasan kejiranan Bustan
Al-Qasr, Syria, kelmarin. Saksi berkata kebakaran itu akibat tembakan
seorang penembak hendap yang taat pada Presiden Assad. - Foto REUTERS
Encik Lakhdar Brahimi enggan memberikan tarikh yang ditetapkan bagi satu pusingan baru rundingan di Geneva itu, sedang beliau bercakap kepada wartawan di Kahirah, Mesir, kelmarin, bersama ketua Liga Arab, Encik Nabil al-Arabi.
Encik Arabi berkata persediaan sedang dibuat bagi 23 November ini.
Encik Brahimi, bagaimanapun, memberi amaran bahawa mesyuarat itu akan hanya berjalan jika ada "pembangkang berwibawa yang mewakili satu segmen penting daripada rakyat Syria" yang menentang Presiden Bashar al-Assad.
"Ada persetujuan mengadakan Geneva 2 pada November ini tetapi tarikhnya masih belum ditetapkan secara rasmi," kata beliau.
"Tarikh akhir bagi sidang itu akan diumumkan kemudian... dan kami berharap ia akan diadakan pada November ini," tambahnya.
Kedua-dua pegawai memaklumi beberapa halangan pada sidang damai itu sedang para diplomat Arab dan Barat - termasuk Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik John Kerry - membuat persediaan bagi mesyuarat 'Rakan-Rakan Syria' dengan para pemimpin pembangkang hari ini di London.
Encik Brahimi sedang mengadakan satu lawatan pusingan pertama di Timur Tengah yang bertujuan mendapatkan sokongan bagi satu inisiatif menamatkan konflik di Syria sejak 31 bulan lalu yang telah membunuh lebih 115,000 orang.
Penyelesai masalah veteran itu berkata beliau juga akan melawat ke Qatar, Turkey, Iran, Syria dan Geneva mengadakan rundingan dengan para perwakilan dari Russia dan Amerika.
Akhbar Al-Watan, yang pro-Damsyik, berkata Encik Brahimi akan melawat Syria minggu depan.
Washington dan Moscow telah cuba menganjurkan sidang tersebut menyusuli perjanjian bersejarah yang dicapai mereka bersama Syria untuk memusnahkan senjata kimia negara Arab itu menjelang pertengahan tahun depan.
Inisiatif Geneva itu diumumkan kali pertamanya pada tahun lalu tetapi ia telah ditangguh berulang kali setelah berlakunya pertelingkahan antara kumpulan pembangkang dan pertikaian terhadap negara manakah, termasuk Iran, yang harus menyertainya.
Syria mengkritik hebat Encik Brahimi, terutamanya selepas beliau mengusulkan supaya sebuah pemerintah sementara dibentuk dan diberi kuasa sepenuhnya sehingga pilihan raya, berikutan lawatan terakhir beliau pada lewat tahun lalu.
Sementara itu, satu serangan bom trak membunuh sekurangnya 43 orang - termasuk 32 orang awam - di bandar Hama, menurut kumpulan hak asasi The Syrian Observatory for Human Rights, tetapi pihak media negara berkata 37 orang - termasuk dua kanak-kanak - terbunuh dalam insiden itu.
SAMBUNG BACAAN...
No comments:
Post a Comment