CIK MALALA YOUSAFZAI: Perjuangkan pendidikan pelajar perempuan. - Foto REUTERS
Remaja Pakistan antara calon pemenang Hadiah Nobel?
Calon lain yang diramalkan termasuk seorang doktor dari Congo, Encik Denis Mukwege, atau para aktivitis hak asasi kemanusiaan di Russia atau Belarus.
Sebanyak 259 nama telah dicalonkan untuk Hadiah Keamanan Nobel tahun ini tetapi Institut Nobel Norway tidak pernah mendedahkan senarai itu.
Ini bermakna para pengamat hanya dapat meramalkan siapa yang bakal memenangi hadiah itu sebelum pemenangnya diumumkan pada 11 Oktober ini.
Sejak 2009, Ketua Institut Penyelidikan Keamanan Oslo, Encik Kristian Berg Harpviken, telah mengeluarkan senarainya sendiri bagi meramalkan pemenang Hadiah Keamanan Nobel.
Bagi tahun ini, Malala, yang ditembak di kepala oleh Taleban tahun lalu kerana memperjuangkan hak pelajar perempuan mendapatkan pendidikan, mendahului senarainya.
Encik Harpviken berkata, Malala, yang telah pun menjalani pembedahan, bukan saja simbol bagi hak pelajar perempuan malah simbol bagi perang menentang pengganasan dan penindasan.
Bagaimanapun, ada pihak yang menganggap hadiah itu terlalu berat bagi seorang remaja yang berusia 16 tahun.
"Dari sudut etika, saya tidak pasti ia sesuai memberi hadiah keamanannya kepada seorang kanak-kanak," kata ketua Institut Penyelidikan Keamanan Stockholm, SIPRI, Encik Tilman Brueck.
Beliau menyarankan hadiah itu mungkin diberikan kepada perunding keamanan Colombia atau kumpulan reformis Myanmar.
Seorang sejarawan, Encik Asle Sveen, berkata doktor bidan dari Congo, Encik Mukwege, merupakan pemenang yang wajar tahun ini.
Doktor tersebut telah menubuhkan sebuah hospital dan yayasan bagi membantu ribuan wanita yang telah dirogol oleh militan dan askar.
Badan hak asasi Human Rights Watch pula berkata jawatankuasa yang memilih pemenang tahun ini mungkin ingin menghargai usaha kumpulan hak asasi di Russia dan Belarus.
SAMBUNG BACAAN,,
No comments:
Post a Comment