Dua ditangkap selepas seorang mangsa menelefon pertubuhan amal minta bantuan
LONDON:
Tiga wanita yang diperhambakan selama 30 tahun akhirnya diselamatkan
dari sebuah rumah di London, termasuk seorang yang dipercayai menjadi
hamba hampir sepanjang hayatnya di rumah itu, kata polis Britain, awal
semalam.
Para pegawai polis, yang menahan seorang lelaki dan seorang wanita,
kedua-duanya berusia 67 tahun, di rumah mereka di selatan London,
menyifatkan kes tersebut sebagai kes perhambaan paling teruk yang pernah
muncul di ibu kota Britain itu.
Kedua-dua orang yang ditangkap itu kemudian dibebaskan dengan ikat
jamin sehingga satu tarikh pada Januari ini, bergantung pada siasatan
lanjut, kata polis dalam satu kenyataannya awal semalam.
Tiada butir tambahan diberikan sejauh ini.
Polis berkata mereka tidak percaya wanita-wanita itu - seorang warga
Malaysia berusia 69 tahun, seorang warga Ireland berusia 57 tahun dan
seorang warga Britain berusia 30 tahun - bersaudara dan tidak ada bukti
menunjukkan mereka telah menjalani penderaan seksual.
Tidak jelas di mana wanita paling muda di antara ketiga-tiga wanita itu dilahirkan.
Kebebasan wanita-wanita itu kelihatan terhad sejak bertahun-tahun
sehingga salah seorang daripada mereka memberanikan diri menelefon
sebuah pertubuhan kebajikan pada 18 Oktober lalu, selepas menonton
sebuah rancangan dokumentari yang menonjolkan kempen antiperhambaan.
Selepas percaya dan berasa yakin dengan kakitangan pertubuhan Freedom
Charity, dua daripada wanita itu bertemu dengan kakitangan pertubuhan
tersebut.
Pada 25 Oktober lalu, kakitangan pertubuhan itu membawa polis ke rumah wanita-wanita tersebut dan mereka kemudian diselamatkan.
Kes itu dirahsiakan sehingga pengangkapan dua suspek yang disifatkan
polis sebagai bukan warga Britain kerana disyaki terbabit dalam kegiatan
buruh paksa dan perhambaan di rumah.
"Wanita-wanita itu amat trauma selepas hidup dalam perhambaan selama
sekurang-kurangnya 30 tahun tanpa pendedahan kepada dunia luar, dan
percubaan untuk mengetahui apa yang berlaku sepanjang tiga dekad lalu
itu difahamkan akan mengambil sedikit masa," kata Inspektor Detektif
Kevin Hyland dalam satu kenyataan.
"Unit kami menangani banyak kes setiap tahun tetapi belum pernah
membongkar kes yang membabitkan sekumpulan orang yang ditahan secara
paksa sepanjang hayat mereka," katanya.
Beliau selanjutnya berkata kes demikian tidak sering berlaku di
Britain, tetapi menggesa sesiapa saja yang mengalami suasana yang sama
agar tampil.
Kes wanita-wanita itu mengimbas kembali kes penculikan yang memakan masa panjang di Amerika Syarikat dan Austria.
Encik Hyland berkata usaha menjejaki wanita-wanita itu bermula pada
21 Oktober lalu apabila Freedom Charity membuat laporan polis mengenai
kisah salah seorang 'hamba' wanita itu, yang berkata beliau telah
ditahan secara paksa dalam rumah berkenaan selama lebih 30 tahun.
"Hubungan antara wanita-wanita itu adalah sebahagian daripada
siasatan berterusan dan kami tidak mahu membuat spekulasi. Bagaimanapun,
kami percaya wanita berusia 30 tahun itu telah menjadi hamba seumur
hidupnya," kata beliau.
Cik Aneeta Prem, pengasas Freedom Charity yang menangani beberapa
isu, termasuk perkahwinan paksa, berkata wanita-wanita itu cukup berani
menampilkan diri setelah sekian lama hidup dalam ketakutan.
SAMBUNG BACAAN,,